Sunday, 1 March 2015

Pendemokrasian Pendidikan - Kepentingan

Isu dan cabaran penting pendidikan semasa di Malaysia yang lain adalah Pendemokrasian Pendidikan. Seperti yang dinyatakan dalam post sebelum, walaupun kerajaan telah melakukan banyak usaha, perpaduan di negara kita masih belum dapat dicapaikan.

Pendemokrasian Pendidikan merupakan satu cara yang effektif untuk mewujudkan integrasi nasional dengan memastikan setiap individu diberikan peluang dan hak yang sama untuk mendapat pendidikan serta kemudahan yang disediakan. Di bawah proses mendemokrasikan pendidikan, setiap individu diberi peluang yang sama untuk mendapat pendidikan yang bermutu dan hak memilih jenis sekolah untuk belajar tanpa mengira status ekonomi, sosial, keistimewaan, jantina, kaum, agama atau latar belakangnya.

·         Pendemokrasian dapat didefinisikan sebagai prinsip-prinsip kesamarataan hak-hak sosial setiap individu yang menganggotai sesuatu masyarakat.
·         Pendidikan pula dikaitkan dengan satu usaha atau proses mendidik dan dididik yang dikatakan berkait rapat dengan proses pengajaran dan pembelajaran.

1. Integrasi Nasional
Dalam pendemokrasian pendidikan, penggunaan satu bahasa pengantar yang sama jelas mampu memupuk perpaduan di kalangan semua pelajar. Melalui sekolah satu aliran , semua pelajar masih berhak mempelajari bahasa ibunda masing-masing di samping membolehkan mereka memupuk dan mencapai matlamat perpaduan dan integrasi menerusi pendidikan.

2. Membasmi masalah buta huruf
Pendemokrasian pendidikan jelas dapat membantu dalam membasmi masalah buta huruf melalui memandatorikan pendidikan kepada rakyat di luar bandar dan mengurangkan jurang pencapaian akademik yang disebabkan oleh ketidaksamaan peluang dalam pendidikan. Jurang ini dikenalpasti adalah dipengaruhi oleh perbezaan kelas sosial, perbezaan sosialisasi bahasa dan perbezaan lokasi tempat tinggal. Dengan pendemokrasian pendidikan, tiada lagi alasan tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah.

3. Kemajuan diri dan masyarakat

Seterusnya, pendemokrasian pendidikan turut dapat membantu pelajar sedar tentang kepentingan pendidikan untuk masa depan mereka serta kepentingannya dalam menentukan kelangsungan kegemilangan negara. Melalui pendemokrasian pendidikan, keprihatinan masyarakat terhadap perkembangan pendidikan terkini juga dapat ditingkatkan dan lalu memupuk minat terhadapnya. Secara tidak langsung, masyarakat dapat berkongsi idea dalam menangani masalah pendidikan dan menjadi penyumbang kepada maklum balas terhadap keberkesanan sistem pendidikan.

No comments:

Post a Comment